Subscribe:

Friday, July 27, 2012

Tafsir surah al-Baqarah ayat 1-5


TAFSIR DI BAWAH GEMA AL-QUR'AN
Tulisan ini adalah tulisan al-Marhum Dato' Yusoff Zaky Haji Yacob yang terkandung dalam majalah Pengasuh. Semoga ianya memberikan manafaat kepada kita semua seterusnya menjadi amal jariah kepada allahyarham.
الم (1) ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ (2) الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ (3) وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ (4) أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (5)

 Maksudnya:
Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Di sekitar surah al-Baqarah

Surah al-Baqarah tergolong di dalam surah-surah  yang awal diturun selepas Hijrah. Ia juga merupakan surah yang paling panjang di antara 114 surah-surah al-Quran dan mengandungi 286 ayat. Perbicaraannya yang pokok ditumpu di sekitar:
  1. Mendedahkan sikap dan kedudukan orang-orang keturunan Israel terhadap dakwah Islam di Madinah dan bagaimana hubungan dam kerjasama mereeka denagn golongan munafiqin dan musyrikin Araab untuk menghalangi perkembangan dakwah.
  2. Perjuangan dan angkatan pelopor Islam yang terdiri dari kaum Ansar dan kaum Muhajirin yang sibuk mendirikan masyarakat baru atau negara Islam yang muda di Madinah, di mana Rasulullah diperintah menyusun semula masyarakat melalui berbagai-bagai indokrinasi, contohnya sejarah, bimbingan, didikan, peraturan dan undang-undang untuk melayak umat muslimin memegang obor dakwah dan mendirikan pemerintahan Rabbani di bumi.
Saranan dan bimbingan

  1. Al-Quran adalah kalam Allah yang di turun kepada manusia. Ia disusun dan digubah dari Alif Ba Ta bahasa Arab yang boleh dibaca dan mudah difahami oleh manusia tetapi susunan dan kandungannya merupakan satu mukjizat yang tidak dapat ditandingi oleh ahli-ahli bahasa, sasterawan-sasterawan dan cendiakawan-cendiakawan manusia. Kerana kandungannya yang penuh hikmah itulah, maka tiada lagi sebarang keraguan bahawa al-Quran adalah kalam Allah yang sebenar yang diturun untuk membimbingi umat manusia.
  2. Al-Quran hanya menjadi petunjuk kepada orang-orang yang berjiwa taqwa, berhati nurani  yang hidup dan berkemahuan yang bebas dari kongkongan nafsu. Taqwa ialah kesedaran jiwa yang amat sensitif. Ia membuat manusia sentiasa menjunjung perintah dan menjauhi larangan Allah, cintakan keadilan, kebaikan dan kebajikan manusia dan membuat mereka sentiasa waspada dan berhemat menjaga diri dari terlibat di dalam maksiat dan penyelewengan-penyelewengan.
  3. Sifat orang yang bertaqwa ialah:
    • Mereka mempunyai jiwa yang besar, mereka yang tidak terkongkong di alam matabenda dan pancaindera yang sempit, malah jiwa dan akal mereka yang menjangkau ke alam rohani yang lebih seni dan agung. Di mana mereka dengan penuh yakin mempercayai Allah kuasa ghaib yang mutlak dan Maha Agung yang memegang kunci hidup mati seluruh kejadian di alam ini, mempercayai para malaikat yang menjadi pegawai-pegawai tadbir di alam malakut dan mempercayai balasan syurga neraka di alam akhirat yang di luar pancaindera manusia.
    • Mereka bukan saja mempercayai Allah secara pasif, malah mereka menyintainya dan membuktikan kepercayaan itu dengan usaha-usaha menghubunginya melalui ibadah-ibadah sembahyang  yang teratur dan takut. 
    • Mereka mempunyai hati yang murah dan budiman terhadap sesama manusia. Mereka sentiasa bersiap sedia berbakti dengan harta kekayaan yang diperolehi mereka demi kebajikan yang diperolehi mereka dan demi kebajikan masyarakat umum, baik dalam bentuk zakat atau pendermaan-pendermaan.
    • Mereka beriman dan berpegang teguh dengan al-Quran yang diturun kepada  Nabi muhammad SAW. Di samping itu, mereka juga beriman kepada kitab-kitab suci yang lain yang diturun oleh Allah kepada Rasul-rasul yang terdahulu sesuai dengan tahap perkembangan  dan kemajuan fikiran manusia.
    • Mereka yakin bahawa satu hari nanti mereka akan menyambung sejarah hidup mereka di alam akhirat. Itulah penghabisan perjalanan dan matlamat hidup manusia, di mana seluruh amalan dan kerja-kerja mereka di dunia akan dinilai kembali seadilnya berdasarkan motif yang jujur, niat yang ikhlas dan iman yang murni di dunia. Itulah alam hakiki dan realiti yang sebenar.

0 comments:

Post a Comment