Subscribe:

Saturday, July 28, 2012

Penyusunan Ayat dan Surah Al-Qur'an

Adakah susunan ayat-ayat dan surah seperti yang tertulis dalam mushaf-mushaf sebenarnya susunan yang berdasarkan susunan penurunannya atau lain daripada itu. Ijmak ulama telah menetapkan bahawa urutan ayat sebagaimana yang kita lihat sekarang di dalam mushaf-mushaf adalah berdasarkan “tauqif” daripada Nabi SAW dari Allah SWT. 
Tauqifi bermaksud hal tersebut didasarkan pada perintah dan petunjuk daripada nabi sesuai dengan petunjuk wahyu yang diterima oleh beliau daripada Allah melalui perantaraaan Malaikat Jibril. Dengan itu ia bukanlah suatu perkara yang boleh dipastikan oleh fikiran atau ijtihad peribadi.



Senario itu terbukti jelas melalui keadaan dan fakta-fakta berikut:
  • Jibril membawa ayat-ayat kepada Rasulullah SAW dan memberikan bimbingan perletakan ayat dalam surah-surah. Kemudian Nabi SAW membacakannya kepada para sahabat dan memerintahkan kepada para penulis wahyu untuk menuliskannya dengan menjelaskan surah yang menjadi induk ayat itu dan sekaligus tempatnya. Beliau membacakannya kepada mereka berkali-kali, baik ketika solat, pemberian nasihat, mahupun sewaktu memberikan keputusan. Jibril a.s juga membentangkannya sekali setiap tahun. Dan pada tahun akhir, Jibril membentangkannya sebanyak dua kali. Semuanya menurut urutan sebagaimana yang kita dapati sekarang.
  • Begitu juga setiap orang yang hafaz keseluruhan Al-Quran atau hafaz sebahagiannya menggunakan urutan seperti yang kita dapati  sekarang. Urutan itu telah tersebar luas, dikaji di antara mereka, dibaca dalam solat mereka, diambil dan dipindahkan sebahagian dari sebahagian yang lain dengan urutan seperti yang kita kenali sekarang. Tak ada seorang sahabat, bahkan khalifah sekalipun memiliki peranan dalam menentukan pengurutan ayat-ayat Al-Quran.
  • Bahkan penghimpunan yang dilaksanakan pada masa Abu Bakar tidak lebih dari pemindahan Al-Quran dari pelepah-pelepah kurma, lempengan-lempengan batu dan tulang belulang ke dalam shahifah-shahifah. Dan penghimpunan Al-Quran pada masa Uthman juga tidak lebih dari sekadar penyalinan semula Al-Quran dari shahifah-shahifah ke dalam mushaf-mushaf. Kedua penghimpunan itu tetap berdasarkan pada urutan yang dihafaz yang berasal dari Nabi SAW dari Allah SWT.
  • Memang begitulah, menurut ijma’ urutan itu tidak dapat diragukan lagi. Sejumlah ulama terbilang meriwayatkan hal ini, antara lain al-Zarkasyi di dalam al-Burhan dan Abu Ja’far di dalam al-Munasabat. Beliau mengatakan: “urutan ayat terjadi dengan tauqif dari Rasulullah SAW dan bimbingan beliau, tanpa ada khilaf sedikit pun di kalangan umat Islam.”Dalil-dalil lain adalah;
  • Apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Uthman ibn Abu al-Ash, katanya: ”Aku duduk di samping Rasulullah SAW. Tiba-tiba ada seseorang melihat beliau lalu meluruskan sesuatu di hadapan beliau. Kemudian beliau bersabda: “Jibril telah datang kepadaku lalu memerintahkan kepadaku untuk meletakkan ayat ini ditempat ini dari surah ini. Ayat itu adalah firman Allah yang bermaksud "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebaikan, memberi kepada kaum kerabat sampai akhir ayat".(Surah an-Nahl: 90)
  • Dalil yang lain adalah riwayat yang ada di dalam sunah-sunah yang sahih tentang bacaan-bacaan Nabi SAW terhadap sejumlah surah, sebagaimana surah al-Baqarah, Ali Imran dan an-Nisa’. Juga bacaan beliau terhadap surah al-A’raf didalam solat maghrib, surah Al-Mukminin, surah ar-Rum di dalam solat subuh, surah as-Sajdah, surah al-Insan di dalam solat subuh hari Jumaat, surah al-Jumuah dan al-Munafiqun di dalam solat Id. Semua itu beliau baca sesuai dengan urutan yang kita kenali sekarang, didengar dan disaksikan oleh para sahabat.
  • Bukti lain lagi adalah yang ditakhrij oleh Imam Bukhari dari Ibn az-Zubair, katanya:Saya berkata kepada Uthman ibn Affan: Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, 234, yang bermaksud: Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri….. Ayat itu telah dinaskhah oleh ayat lain, mengapa masih engkau tulis? Atau kamu biarkan saja? Uthman menjawab: Wahai bapa saudaraku, aku tidak akan mengubah sesuatu pun dari tempatnya”. Hadis-hadis sahih ini sangat jelas menunjukkan bahawa penepatan ayat di tempatnya, meskipun telah dinaskhah merupakan tauqifi. Saidina Uthman dengan pengakuannya sendiri, tidak mampu melakukan perubahan kerana hal seperti itu tidak menjadi medan ra’y dan ijtihad.
  • Dalil lain lagi adalah riwayat Imam Muslim dari Umar, katanya:Aku tidak bertanyakepada Nabi SAW tentang sesuatu lebih dari pertanyaanku tentang “al-Kalalah” sampai beliau menohok dadaku dengan telunjuk beliau, seraya bersabda: Cukupbagimu (untuk mengetahui hal itu) ayat ash-Shaif yang ada pada akhir surah an-Nisa’ Anda dapat melihat bahawa Nabi SAW menunjukkan kepadanya tempat di mana ayat itu berada, yakni pada akhir surah al-Nisa’ sebagaimana yang kita lihat sekarang iaitu firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, 16, maksudnya: Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah: Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah hingga akhir ayat.

0 comments:

Post a Comment