Subscribe:

Monday, January 19, 2015

ISLAM DAN CINTA

عَنْ أَنَسٍ -رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ -عَنْ النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -وَعَنْ حُسَيْنٍ الْمُعَلِّمِ قَالَ: حَدَّثَنَا قَتَادَةُ عَنْ أَنَسٍ عَنْ النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -قَالَ:" لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ."

Ertinya :
Anas r.a melaporkan bahawa Rasulullah s.‘a.w. bersabda: “Tidak sempurna iman seorang Islam, melainkan apabila dia mencintai saudaranya (yang muslim) sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.” Hadis riwayat Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab (من الإيمان أن يحب لأخيه ما يحب لنفسه)

Ulasan
Perasaan cinta mencinta merupakan fitrah semula jadi manusia yang dikurniakan Allah SWT untuk menyusun kehidupan masyarakat. Jelasnya,  tidak akan ada perkenalan, perhubungan, pertolongan, perjuangan dan sebagainya dalam masyarakat sekiranya tidak bermula dari desakan cinta.

            Cinta mempunyai pengertian yang berlainan di antara golongan yang memahami Islam dan golongan yang tidak memahami Islam. Golongan yang tidak memahami Islam akan mendasarkan rasa cintanya bagi memperolehi segala tujuan yang dikehendakinya untuk keduniaan atau kebendaan semata-mata. Cinta sedemikian hanya merupakan kulit luar sahaja.

            Sedangkan,  pengertian cinta dalam golongan yang memahami Islam adalah berdasarkan persaudaraan agama dan keimanan yang suci murni terhadap Allah SWT dan RasulNya. Ia juga berlandaskan kejujuran iaitu semata-mata kerana Allah SWT dan agama Islam. Maka,  dengan dasar tersebut Rasulullah SAW telah mempersaudarakan di antara kaum Muhajirin dan Ansar ketika  baginda sedang mengembangkan Islam di Madinah.

Dalam hal ini Rasulullah SAW  bersabda:
تآخوا فى الله أخوين أخوين
Ertinya :
Bersaudaralah kerana Allah dengan menjadikan kamu seperti adik beradik
Al-Suyuti, Kitab Jami’ al-Hadith, hadith no.10545

Kesan cinta kepada saudara  seagama ini telah dibuktikan oleh para sahabat Rasulullah SAW  apabila terdapat seorang daripada baginda yang menceraikan salah seorang daripada isterinya yang dikasihi untuk dikahwinkan dengan  sahabatnya yang baru. Peristiwa ini menjelaskan lagi maksud  hadith  di atas;  iaitu tidak sempurna iman seseorang muslim  melainkan apabila dia mencintai saudaranya yang muslim sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.
           
Menerusi sebuah hadith yang lain, baginda s.‘a.w.  memerintahkan umat Islam   supaya mengikat tali persaudaraan dan kecintaan melalui  sabda baginda:
أحب لأخيك ما تحب لنفسك
Ertinya :
Cintailah saudara (sahabat) kamu seperti mana engkau cinta (kasih) kepada diri kamu.
Al-Suyuti, Kitab Jami’ al-Hadith, hadith no.25600

Kehidupan manusia dilingkari dengan pelbagai cinta, antaranya:
  • Cinta kepada Allah SWT iaitu mentaati tanpa  berbelah bagi dengan mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala laranganNya.
  • Cinta kepada Rasulullah SAW dengan mengamalkan segala sunnah-sunnah baginda serta senantiasa berselawat dan memuji-muji baginda.
  • Cinta kepada ibu bapa, anak, isteri, adik beradik, saudara-mara dengan berbuat baik kepada mereka serta melapangkan kehidupan mereka, memberi bantuan  dan sebagainya.
  • Cinta kepada tanah air, bangsa dan negara iaitu dengan mengawal, menjaga dan memeliharanya daripada  musuh sama ada dari  dalam atau luar serta menolong anak bangsa memajukan segala lapangan ilmu pengetahuan, perusahaan, pendidikan dan sebagainya.
  • Cinta sejagat iaitu cinta yang berdasarkan kepada satu umat Islam yang berada di bawah undang-undang Ilahi. Ia boleh direalisasikan dengan cara saling  tolong-menolong dan  bantu-membantu antara satu sama lain.
         Perasaan cinta atau kasih sayang berdasarkan kepada  perkara-perkara di atas masih lemah dan kurang dihayati oleh  manusia pada hari ini. Justeru, bagi menyala dan menyemarakkan lagi semangat cinta tersebut, kita perlu:

  • Meningkatkan kualiti keimanan diri dengan mengamalkan ajaran Islam secara sempurna bagi melahirkan pera.
  • Membuka seluas-luasnya pintu pendidikan dan kehidupan kepada setiap individu.
  • Menghindarkan segala muslihat diri atau faedah perseorangan kerana Islam menyuruh para penganutnya agar  bersikap sama rata dan sama merasai keadilan dalam segala lapangan. Ia  bertujuan untuk memperbaiki masyarakat supaya menuju ke arah kebahagiaan dan keamanan dalam melayari bahtera kehidupan di dunia ini.



0 comments:

Post a Comment