Subscribe:

Sunday, July 22, 2012

Berbuat baiklah kepada Ibu bapa

Kedudukan ibu bapa di sisi Allah s.w.t. terletak di tempat yang teratas sekali selepas kedudukan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, yang mana anak-anak perlu merasakan diri mereka kecil apabila berhadapan dengan ibu bapa mereka. Hal ini juga adalah kerana ibu bapa merupakan sebab nyata wujudnya seorang anak yang mana ibu bapa berhak terhadap anak-anak mereka. Bahkan Allah s.w.t. juga tidak redha terhadap seseorang itu selagi ibu bapa mereka tidak meredhai mereka sepertimana yang terdapat dalam sabda Rasulullah s.a.w. iaitu : رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ Keredhaan Tuhan terletak kepada keredhaan kedua ibu bapa dan kemurkaan Tuhan terletak kepada kemurkaan kedua-duanya.[Tarmizi, Bab (مَا جَاءَ مِنْ الْفَضْلِ فِي رِضَا الْوَالِدَيْنِ )] 


Perintah berbuat kebajikan kepada ibu bapa termasuklah berbuat kebajikan dalam bentuk moral dan material. Dari sudut material, para ulama telah berijmak bahawa anak-anak yang berkemampuan wajib menyara hidup ibu bapa mereka yang miskin dan tidak berkemampuan. Oleh itu, anak-anak harus memiliki keinginan yang kuat untuk mengurus dan menjaga ibu bapa yang telah tua dan lemah supaya ibu bapa tidak lagi merasa terabai tanpa kasih sayang daripada anak-anak. 

Manakala kebajikan daripada sudut moral pula bermaksud mentaati ibu bapa dalam perkara-perkara kebajikan dan makruf, memuliakan dan menghormati mereka, menziarahi mereka, berbuat baik, tidak berbicara dan bersikap kasar terhadap mereka serta hendaklah menjaga hati dan perasaan mereka supaya mereka tidak berkecil hati dengan setiap tingkah laku anak-anak. Selain itu anak-anak juga dituntut supaya mendoakan kebaikan daripada Allah s.w.t. agar sentiasa dicucuri rahmat dan keberkatan terhadap mereka. Begitu juga dengan ibu bapa yang tidak beragama Islam iaitu diharuskan mendoakan mereka agar dirahmati Allah s.w.t. dan diberikan hidayah untuk mereka supaya memeluk agama Islam. Kewajipan terhadap ibu bapa tidak terhad hanya semasa mereka hidup di dunia sahaja, bahkan kematian ibu bapa tidak menghalang seorang anak untuk terus berbakti kepada mereka. 

Hal ini dinyatakan oleh baginda melalui sabdanya: عَنْ أَبِي أُسَيْدٍ مَالِكِ بْنِ رَبِيعَةَ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ بَنِي سَلَمَةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَبَقِيَ مِنْ بِرِّ أَبَوَيَّ شَيْءٌ أَبَرُّهُمَا بِهِ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِمَا قَالَ نَعَمْ الصَّلَاةُ عَلَيْهِمَا وَالِاسْتِغْفَارُ لَهُمَا وَإِيفَاءٌ بِعُهُودِهِمَا مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِمَا وَإِكْرَامُ صَدِيقِهِمَا وَصِلَةُ الرَّحِمِ الَّتِي لَا تُوصَلُ إِلَّا بِهِمَا Abu Usaid berkata : “Ketika aku berada di samping Rasulullah, tiba-tiba datanglah seorang dari kaum Ansar dan berkata, “Wahai Rasulullah, apa yang dapat aku lakukan untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapaku setelah kedua-duanya meninggal?” Baginda bersabda; “Ada empat perkara yang dapat kamu lakukan iaitu mendoakan kedua-duanya, menghormati teman-teman keduanya, dan bersilaturrahim dengan kerabat yang tiada hubungan denganmu kecuali melalui kedua orang tuamu. Itulah perbuatan baik yang dapat kamu lakukan terhadap keduanya setelah mereka meninggal.” [Ibn Majah, Bab ( بَاب صِلْ مَنْ كَانَ أَبُوكَ يَصِلُ )]

0 comments:

Post a Comment