Subscribe:

Tuesday, July 31, 2012

Orang Yang Mendapat Naungan Arasy


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ".

Ertinya:
Dari Abu Hurairah r.a. yang menyebut bahawa  Nabi Muhammad s.‘a.w. bersabda : “Tujuh golongan yang dinaungi oleh Allah s.w.t.s.w.t. di bawah naunganNya pada hari yang tidak ada naungan selain daripada  naunganNya iaitu : Imam (raja) yang adil, pemuda yang tidak lekang beribadat kepada Tuhannya, lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua lelaki yang saling kasih-mengasihi kerana Allah, kedua-duanya bertemu  dan berpisah dengan  keredhaan Allah, lelaki yang dipujuk perempuan yang cantik dan mulia, maka ia berkata (sambil menolak pujukan itu) “Sesungguhnya aku takut kepada Allah s.w.t.seru sekalian alam.” Seterusnya lelaki yang bersedekah secara sembunyi sehingga apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya tidak diketahui oleh tangan kirinya dan lelaki yang sentiasa mengingati Allah s.w.t.dengan ikhlas yang menyebabkan air matanya sentiasa bergenang.”[1]


Ulasan
Pada hari kiamat kelak,  semua makhluk akan dihimpun di padang mahsyar untuk diperiksa amalan masing-masing. Semasa itu,  keadaan penuh sesak dan tidak ada tempat berlindung untuk  berteduh daripada cahaya matahari yang menyuluh di atas ubun-ubun mereka.
 Berdasarkan sabda junjungan tadi, jelas menunjukkan bahawa hanya  tujuh golongan sahaja yang akan memperolehi nikmat perlindungan daripada  Allah s.w.t.,  iaitu:
  1. Imam (raja, sultan atau pemerintah Islam) yang memiliki sikap adil dan  saksama dalam pemerintahannya. Hasilnya,  rakyat dapat merasai nikmat daripada keadilan itu.
  2. Pemuda (pemudi) yang patuh dan taat menyembah Allah s.w.t. dengan tidak melanggar segala laranganNya.
  3. Mereka yang hatinya  sentiasa terikat dengan masjid.  Sepanjang masa mereka teringat kepada masjid untuk menunaikan sembahyang di dalamnya.
  4. Dua lelaki (dua perempuan) yang berkasih-sayang. Kedua-duanya  saling mencintai satu sama lain semata-mata kerana Allah s.w.t. Mereka berkumpul dan berpisah semuanya kerana Allah s.w.t.
  5. Lelaki (perempuan) yang diminta dan dipujuk rayu oleh perempuan (lelaki) supaya melakukan perbuatan  yang keji, umpamanya zina dalam keadaan perempuan (lelaki) itu berasal dari golongan ternama, mempunyai kemewahan harta benda dan  cantik jelita pula, tetapi lelaki (perempuan) tadi menolak pujukan itu dengan kata-kata : “Aku takut kepada Allah seru sekalian alam.”
  6. Mereka yang bersedekah atau menderma dengan menyembunyi dan menyorokkan pemberian  tersebut.
  7. Lelaki (perempuan) yang mengingati Allah s.w.t. dengan sepenuh hati sehingga mengalir air matanya kerana terkenangkan kebesaran Allah s.w.t. terhadap makhlukNya yang jahat dan zalim.


[1] Sahih al-Bukhari, Bab (اثنان فما فوقهما جماعة), Hadith 629, Juzuk 1, hlm 234, dan Sahih Muslim, Bab Kelebihan Menyembunyikan Sedekah (فضل إخفاء الصدقة), Hadith 1031, Juzuk 2, hlm 715.

0 comments:

Post a Comment